Bab 13 : Sekolah Dan Persekitaran

RUMUSAN TAJUK 13: SEKOLAH DAN PERSEKITARAN

Memang tidak dapat dinafikan bahawa manusia cinta akan sesuatu yang cantik, bersih dan ceria. Begitulah juga dengan pelajar-pelajar sekolah yang memerlukan persekitaran sekolah yang baik bagi merangsang pembentukan jiwa yang tenang dan aman dalam menimba ilmu pengetahuan. Jadi tidak hairanlah mengapa pihak pengurusan sekolah amat menekankan aspek iklim dan persekitaran sekolah yang baik. Mana mungkin pelajar dapat belajar dengan tenteram sekiranya persekitaran sekolahnya kucar kacir, kotor, berbau dan bising. Pada kebiasaanya, sebuah sekolah yang iklimnya dianggap positif mempunyai ciri-ciri fizikal sekolah yang bersih dan menarik, hubungan sosial yang baik antara semua warga sekolah serta suasana kerja yang produktif. Manakala iklim negatif atau tertutup lazimnya mempunyai keadaan sekolah yang kucar-kacir, kurang selamat, tidak tenteram dan teratur, malah sering menghadapi konflik dan masalah disiplin (Mok Soon Sang, 2003). 

Secara tidak langsung, iklim dan persekitaran sekolah akan membawa pengaruh yang penting terhadap pembentukan tingkah laku, imej mental, aspirasi dan interaksi sosial bagi anggota-anggota di dalamnya (Abdullah Sani bin Yahya, 2007).  Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa sekolah yang berpencapaiaan tinggi mempunyai tahap keceriaan yang lebih baik berbanding sekolah yang persekitarannya kurang ceria (Mohd Redzauddin bin Ismail, 2008). Oleh hal yang demikian, suasana dan iklim sekolah adalah amat penting dalam membantu pelajar untuk belajar dengan tenteram dan selesa. Selain itu, apabila kawasan persekitaran sekolah yang cantik dan ceria, pelajar tidak akan jemu untuk hadir ke sekolah lagi kerana merasa bahagia berada di kawasan sekolah. Hal ini bukan sahaja dapat mengelakkan masalah ponteng sekolah dalam kalangan pelajar malah masalah disiplin pelajar dapat dikurangkan kerana emosi pelajar tidak terganggu. 

Dalam masa yang sama, sesebuah sekolah yang cantik dan menarik pasti akan mendapat pujian daripada pelbagai pihak terutamanya ibu bapa pelajar yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Mereka akan bertambah yakin dengan pihak pentadbiran sekolah yang mampu mewujudkan suasana sekolah yang kondusif bagi membantu proses pembelajaran anak-anak mereka. Tetapi tidak dinafikan terdapat halangan-halangan tertentu dalam merealisasikan hasrat tersebut. Salah satu halangan terhadap melaksanakan sesuatu projek keceriaan biasanya timbul daripada masalah kewangan. Dalam hal ini, semua pihak patut bekerjasama termasuklah, pengetua, guru-guru, staf-staf sekolah, para pelajar dan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Pihak sekolah perlu berusaha mencari penaja, pelajar pula boleh menjalankan kutipan derma melalui program-program tertentu, guru-guru pula membantu para pelajar menjalankan program-program amal. Sekiranya iklim dan persekitaran sekolah dalam keadaan yang bersih dan ceria, sudah pasti motivasi dan prestasi pelajar dapat ditingkatkan ke tahap yang optimum seterusnya mewujudkan budaya sekolah yang positif dan cergas.

Rujukan : https://www.scribd.com/document/331622050/Laporan-Kps-sekolah-dan-persekitaran

Comments

Popular posts from this blog

Bab 11 : Pengurusan Pelbagai Budaya

Bab 14 : Pengurusan Alam Pembelajaran